ADAKAH PUNCA SAYA DITEMBAK ADA KENA MENGENA DENGAN KEJADIAN INI?

Sebelum saya ditembak pada Julai 2013, saya pernah mendedahkan mengenai kewujudan beberapa premis judi di Simpang Pertang, Jempol, Negeri Sembilan pada Januari 2013. Pada ketika itu, saya telah memasuki premis judi tersebut dengan menyamar sebagai seorang pelanggan bagi memastikan kesahihan maklumat yang saya terima.

Saya kemudiannya telah menghubungi Bukit Aman bagi melaporkan kewujudan premis judi itu dan Bukit Aman menyatakan akan memanjangkan laporan kepada IPK Negeri Sembilan. Setelah beberapa ketika saya di dalam premis, masih tidak kelihatan kelibat PDRM melakukan serbuan.

Saya kemudian mengambil tindakan segera menghubungi IPK Negeri Sembilan dan mereka menyatakan akan memanjangkan pula laporan kepada IPD Jelebu.

Tidak lama kemudian saya telah dihubungi oleh seorang anggota polis dari IPD Jelebu yang telah memaki hamun serta meminta saya “berambus” dari premis judi itu jika tidak saya akan ditembak. Dengan segera, saya terus melaporkan ugutan tersebut kepada Bukit Aman dan mereka menyatakan bahawa pihak mereka akan memandang serius akan isu ini.

Penantian saya di premis judi berkenaan mendapati pihak polis tidak berupaya melakukan serbuan segera walaupun laporan lengkap telah dibuat kepada Bukit Aman dan IPK Negeri Sembilan. Sebaliknya PDRM hanya menghantar 3 anggota biasa yang dilihat hanya membincangkan sesuatu kepada penjaga premis dan kemudian beredar meninggalkan premis.

Beberapa ketika selepas kejadian, saya mendapati kesemua premis judi di Simpang Pertang telah ditutup sementara tetapi apa yang mengecewakan tiada tindakan terhadap anggota polis yang melakukan ugutan terhadap saya walhal Bukit Aman telah berjanji akan memandang serius isu ugutan ini.

Kebetulannya pula, beberapa bulan selepas kejadian iaitu pada Julai 2013 saya telah ditembak di Bahau hingga ianya hampir meragut nyawa saya. Sehingga ke hari ini ia menjadi persoalan kepada saya adakah punca saya ditembak ada kena mengena dengan kejadian ugutan oleh anggota polis dari IPD Jelebu ini?

“Fight Injustice Everywhere”

Dato’ Sri Sanjeevan Ramakrishnan

Leave a Reply