ISU JENAYAH DI KALANGAN KANAK-KANAK, APA TINDAKAN KITA UNTUK MENGATASINYA?

Sejak kebelakangan ini jenayah di kalangan kanak-kanak sering kedengaran berlaku di dalam negara kita. Sebelum ini kita hanya mendengarnya berlaku di negara barat kerana budaya sana lebih bebas berbanding kita di timur.

Berita seorang kanak-kanak berusia 12 tahun merogol seorang kanak-kanak berusia 4 tahun di Batu Gajah, Perak begitu “menjentik” hati nurani kita bagaimana kanak-kanak di usia tersebut belajar melakukan hubungan seksual? Lebih parah lagi suspek telah melakukan perbuatan keji itu sebanyak 3 kali.

Di Taiping pula, kanak-kanak berusia 15 tahun tergamak membunuh abangnya sendiri yang berusia 16 tahun dan kemudian mencampaknya di tepi jalan. Terdetik di hati kita di mana kanak-kanak ini belajar membunuh?

Dua kes ini sudah cukup menggemparkan negara dan menunjukkan sistem kita gagal mendidik anak bangsa menjadi seseorang yang berguna di masa hadapan. Isu ini jika tidak ditangani sebaik mungkin maka masa depan negara berada pada tahap yang membimbangkan kerana mereka inilah harapan negara.

Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan satu jawtankuasa mengkaji adakah jenayah di kalangan kanak-kanak ini kerana sistem pendidikan di sekolah yang terbatas dalam menghukum pelajar, telah menjadikan mereka “rosak” hingga sanggup melakukan jenayah? Jika begitu, sistem yang bagaimana yang sewajarnya diperlukan untuk “membaiki” pelajar yang “rosak” tersebut kembali ke pangkal jalan?

Jika bukan kegagalan di pihak sekolah (sistem pendidikan) adakah kanak-kanak ini terdidik menjadi penjenayah kerana kegagalan ibu bapa mendidik di rumah? Jika begitu, pihak Kementerian Keluarga & Masyarakat harus mewujudkan mekanisma baru bagaimana untuk “mengambil” kanak-kanak yang terabai di rumah ini untuk dijaga sepenuhnya oleh kerajaan. Ini penting supaya kerajaan dapat menunjukkan haluan yang sebenar kepada mereka kerana ibu bapa mungkin terbatas masa dan kewangan untuk memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka.

Dewasa ini, kerajaan dilihat serius dalam menjadikan anak muda pelapis kepimpinan negara di masa hadapan. Antara sebab kerajaan menurunkan had umur belia di bawah 30 tahun adalah disebabkan ini.

Malah kerajaan juga baru-baru ini berjaya menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun kerana merasakan pada umur begini anak muda sudah boleh berdikari dan berfikir mana kaca mana permata.

Kedua-dua keputusan kerajaan ini menunjukkan bahawa kerajaan amat serius memperkasakan anak muda. Oleh yang demikian kes jenayah di kalangan kanak-kanak harus ditangani sebaik mungkin kerana mereka ini ibarat kain putih dan kerajaanlah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya.

Fight Injustice Everywhere”

Dato’ Sri Sanjeevan Ramakrishnan

Leave a Reply