1001 PERSOALAN TERHADAP KES TEMBAK DI BATU ARANG YANG MENGORBANKAN TIGA NYAWA

Kes tembakan di Batu Arang, Selangor pada 14/9/2019 lalu sehingga mengorbankan 3 nyawa iaitu Janarthanan (warga Sri Lanka), Thavaselvan, dan Maghendran menimbulkan 1001 persoalan yang perlu dijawab oleh PDRM.

Pertamanya, PDRM mendakwa ketiga lelaki yang ditembak tersebut mempunyai rekod jenayah samun bersenjata, walhal Janarthanan bukan warganegara Malaysia (PR United Kingdom) dan beliau dilaporkan mula masuk ke Malaysia pada 26/8/2019.

Keduanya, menjadi satu misteri ke mana hilangnya isteri kepada Janarthanan iaitu Moganambal yang dilaporkan berada bersama-sama dengan ketiga-tiga lelaki terbabit. Malah pihak keluarga telah menunjukkan rakaman CCTV beberapa jam sebelum kejadian yang mana Maganambal ada bersama-sama dengan ketiga individu yang ditembak mati tersebut.

Ketiga, PDRM gagal menunjukkan rakaman “dashcam” sewaktu kejadian berlaku seperti yang diminta oleh keluarga mangsa. Menurut polis, tidak semua kereta peronda milik mereka dilengkapi dengan “dashcam”.

Keempat, PDRM menyatakan tangkapan yang dibuat bukan bertujuan untuk membunuh mangsa tetapi kesemua tembakan yang dilepaskan polis hanya tertumpu pada bahagian dada dan muka mangsa. Hasil bedah siasat menunjukkan tiada sebarang kesan tembakan pada bahagian kaki sebaliknya semua terarah ke bahagian dada dan ke atas.

Kesemua isu ini harus dijawab segera oleh Ketua Polis Negara jika tidak mahu spekulasi negatif berlegar di kalangan rakyat amnya dan keluarga mangsa khususnya yang menuntut pembelaan terhadap ketiga-tiga mangsa yang maut dan seorang yang gagal dikesan sehingga kini.

Fight Injustice Everywhere

Dato’ Sri Sanjeevan Ramakrishnan

Leave a Reply