Siasat isu Maika seperti 1MDB – Sanjeevan

Kerajaan disaran menyiasat semula skandal kewangan membabitkan Maika Holdings Berhad (Maika) seperti bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan berkata, skandal itu mengakibatkan 66,000 pelabur masyarakat India kerugian RM106 juta.

Katanya, isu yang tidak diselesaikan sejak beroperasi pada 31 Januari 1983 itu disifatkan mengambil hasil titik peluh masyarakat India di negara ini.

“Syarikat itu dikendalikan Presiden MIC ketika itu, Tun S Sammy Vellu yang bertujuan meningkatkan ekonomi rakyat. Lebih 66,000 individu melabur, meminjamkan harta benda, mengikat barang kemas dan mengambil pinjaman pada kadar tinggi bagi tujuan itu.

“Mereka dijanjikan pulangan antara 10 hingga 20 kali ganda, tetapi semuanya lesap,” dakwanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Sanjeevan berkata, sebaik memiliki rizab terbesar dalam negara, Maika membeli beberapa kepentingan dalam syarikat lain sebelum memberikan dividen antara tiga hingga lapan peratus.

Beliau berkata, pada 1990, syarikat itu mengumumkan rugi RM4.69 juta dan mendakwa terpaksa menjual saham untuk membayar hutang.

“Namun pada tahun sama, mereka membeli satu juta saham dalam syarikat telekomunikasi pada harga RM5 seunit.

“Nasib pelabur dihimpit apabila mereka dimaklumkan syarikat terus mengalami kerugian.

“Pada 2008, Maika mengumumkan keuntungan terkumpul akhir adalah RM106.7 juta. Syarikat itu dijual kepada dua ahli perniagaan, Tan Sri G Gnanalingam dan Tan Sri S Kunasingam melalui pegangan 125 juta saham.

“Apa yang mengecewakan adalah pengurusan baru mendakwa hutang ditanggung Maika adalah RM190 juta, sebaliknya rakan kongsi mereka mendakwa kerugian sebenar hanya RM60 juta,” katanya.

Sanjeevan berkata, wujud pelbagai aktiviti mencurigakan yang tidak jelas menyebabkan pelabur masih menunggu sehingga kini.

Beliau berkata, operasi sebegini membuka jalan aktiviti rasuah dalam kalangan ahli politik dan yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pelabur.

Katanya, sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap kes berkenaan dan perlu diselesaikan seperti mana kes 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 5:49 PM – Harian Metro Online

Leave a Reply