STATISTIK MENUNJUKKAN KES KEHILANGAN KANAK-KANAK AMAT MEMBIMBANGKAN DI MALAYSIA

Kes kehilangan kanak-kanak di Malaysia

Menurut data dari PDRM sejak dari tahun 2012 hingga 2017, terdapat 482 kes kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan hilang di Malaysia. Dari 482 kes ini, ada antaranya yang selamat ditemui, ada yang ditemui maut dalam keadaan yang menyayat hati, dan ada juga yang hilang langsung tak ditemui sehingga kini.

Antara kes kehilangan kanak-kanak yang pernah menggemparkan negara ialah kes Nurin Jazlin (2007), Sharlinie Mohd Nashar (2008), Nurul Nadirah @ Dirang (2012), Amila Edrus (2016) dan yang terbaru ialah adik Zahiruddin Putra, berumur 8 tahun yang dilaporkan hilang sejak April 2019 lalu di sebuah Pangsapuri Seri Dahlia, Bangi.

Menurut keluarganya, sekarang sudah lebih 250 hari bersamaan 8 bulan lebih adik Zahiruddin hilang. Sehingga hari ini masih tiada petunjuk ke mana perginya mangsa.

Di Malaysia ini setiap kali dilaporkan berlakunya kes kehilangan kanak-kanak, pihak berkuasa akan mengemaskini data tersebut ke dalam sistem NUR Alert. NUR Alert merupakan satu sistem amaran awal yang menghebahkan mengenai kehilangan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Cuma malangnya kewujudan NUR Alert ini kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Sepatutnya setiap kali NUR Alert ini melaporkan berita kehilangan kanak-kanak, pihak berwajib harus menghebahkannya di papan iklan LED di setiap lebuh raya dan media sosial seperti Facebook kerana lebih cepat maklumat diketahui umum lebih tinggi kebarangkalian mangsa untuk ditemui semula.

Di harap pihak berwajib terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat dapat bekerjasama dengan setiap agensi pengiklanan, berita, juga PDRM untuk memastikan NUR Alert ini lebih berjaya sebagai medium yang membantu kehilangan kanak-kanak di Malaysia ini.

Fight Injustice Everywhere”

Dato’ Sri Sanjeevan Ramakrishnan

Leave a Reply